mutakhir

Cemas cermin kereta ditembusi 'objek'

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Suami isteri berdepan detik cemas apabila cermin tingkap Perodua Alza dinaiki mereka pecah akibat ditembusi objek yang belum dikenal pasti ketika melalui Jalan Kampung Batu 7, Renggam - Simpang Rengam, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, dalam kejadian 7.40 malam itu, pasangan berusia 30-an dalam perjalanan dari Simpang Renggam ke Kluang.

"Ketika pengadu memandu Perodua Alza bersama isterinya, mereka terdengar bunyi hentakan kuat di tingkap kanan kereta.

"Pengadu kemudian memberhentikan kenderaannya berhampiran sebuah premis dan membuat pemeriksaan sebelum mendapati cermin tingkap kanan dan kiri retak serta terdapat kesan lubang tembus kecil disyaki sesuatu ketulan keras.

"Dalam kejadian ini pengadu bersama keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan dengan bantuan pasukan forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor bagaimanapun tidak menjumpai sebarang serpihan peluru atau 'bearing' yang boleh dikaitkan dengan sebarang senjata.

"Walau bagaimanapun siasatan masih dijalankan untuk mengenalpasti objek yang menyebabkan cermin kereta pengadu pecah," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang aduan dan maklumat boleh menghubungi talian 07-7784222 atau hotline 07-7766822.

Disiarkan pada: April 11, 2021 @ 9:51am
d