mutakhir

Pertunjukan air pancut tarikan terbaru di ibu kota [METROTV]

Oleh Murnaena Muhammad Nasir

Gombak: Pertunjukan tarian air pancut berwarna-warni sepanjang 120 meter mengikut rentak muzik pelbagai genre pastinya mampu memukau setiap pengunjung yang hadir.

Keunikan terbaru buat warga kota itu hanya boleh didapati di 99 Wonderland Park Wildlife In The City di Selayang, di sini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan JL99, Datuk Seri Jeff BK Lee berkata, pertunjukan tarian air pancut di atas tasik itu diilhamkan menerusi pengalamannya melancong di Dubai ketika sebelum pandemik Covid-19.

"Taman ini saya bina sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mana bukan saja menjadikannya lokasi riadah keluarga tetapi juga melindungi haiwan liar.

Saya juga seorang pencinta haiwan dan suka melancong ke luar negara, kerana itu saya wujudkan taman ini dengan gabungan konsep bandar dan haiwan iaitu refleksi kepada minat saya," katanya ketika sesi lawatan media di sini, semalam.

Menurutnya, tarian air pancut terbesar di Malaysia itu menggunakan teknologi daripada China dan menelan belanja sebanyak RM7 juta.

Katanya, tarikan terbaru itu juga diharapkan dapat menjadi tumpuan pengunjung sekitar Lembah klang sekali gus dapat menggalakkan pelancongan dalam negara.

"Bermula Mac tahun lalu hingga sekarang kami hanya dapat beroperasi selama dua bulan dan empat hari.

"Tahun lalu, kebanyakan masa diambil untuk pengubahsuaian supaya lokasi ini lebih menarik," katanya.

Jeff berkata, bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) hanya 1,000 pengunjung yang dibenarkan dalam satu-satu masa.

"Dalam perancangan, kami akan bina lebih banyak tarikan lain seperti kereta kabel, laluan penghubung dari tren ke sini, besarkan lagi restoran serta banyak lagi," katanya.

99 Wonderland Park Wildlife In The City ini dibangunkan oleh JL99 Group sejak 2016 dan dikenali sebagai taman urban moden dengan keluasan lebih 9.3 hektar.

Selain tarikan air pancut ini, pengunjung juga berpeluang melihat dengan lebih dekat serta memberi makan pelbagai jenis spesis haiwan seperti tapir, beruang matahari, buaya tembaga, rakun, rusa dan ikan arapaima gergasi.

Disiarkan pada: April 11, 2021 @ 4:15pm
d