mutakhir

Wadah persediaan dan latihan

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Program Bangkit 15 yang menjadi wadah persediaan dan latihan jentera Umno bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan direhatkan sementara Ramadan ini dan disambung semula selepas Aidilfitri.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Johor negeri kelapan dan terakhir program itu diadakan sebelum Ramadan bermula Selasa ini.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Latihan dan Perkaderan Umno berkata, program Bangkit 15 akan diteruskan semula di Sabah, Kelantan, Pulau Pinang serta Terengganu selepas sambutan Aidilfitri nanti.

"Program Bangkit 15 ini sudah bermula sejak 12 Mac lalu. Ia bermula di dua negeri iaitu Kedah dan Perlis, diikuti Wilayah Persekutuan, Selangor, Perak, Pahang serta hari ini Negeri Sembilan, Melaka dan di Johor hari ini (Ahad).

"Johor negeri terakhir program ini diadakan sebelum Ramadan sebelum disambung ke empat lagi negeri lagi selepas Aidilfitri nanti.

"Selepas daripada program ini, kita akan buat penilaian sejauh mana persediaan kita dalam menghadapi PRU-15 akan datang.

"Buat masa ini, persediaan dan latihan banyak membabitkan aspek seperti persediaan sebelum pilihan raya, waktu pengundian dan selepas pilihan raya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Bangkit 15 di sini, kelmarin.

Turut hadir, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Program Bangkit 15 adalah wadah latihan Umno berkonsep train the trainers dengan kepimpinan akan turun ke bahagian masing-masing untuk melatih ahli di peringkat cawangan sebagai persediaan jentera parti menghadapi pilihan raya.

Antara latihan yang dilakukan Bangkit 15 ini membabitkan setiap aspek pilihan raya termasuk sebelum, semasa dan selepas bagi memastikan jentera Umno berada pada tahap paling optimum setiap masa.

Sementara itu, Ismail yang juga Menteri Kanan Keselamatan berkata, Umno Johor perlu bangkit dan memenangi lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Katanya, sebagai negeri tempat kelahiran parti keramat itu, Umno Johor perlu bangkit kembali bagi menguasai kerajaan.

"Johor memang daripada dulu menjadi benteng kepada kekuatan Umno.

"Seperti yang kita tahu Umno ditubuhkan di Johor, jadi Umno Johor perlu bangkit kembali menguasai kerajaan.

"Walaupun sekarang memang Umno menjadi kerajaan di Johor namun kali ini (PRU-15) kita percaya Umno akan menang lebih besar di Johor," katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2021 @ 8:55am
d