mutakhir

Kes jenayah komersial seluruh negara meningkat

Oleh BERNAMA

Sungai Petani: Jumlah kes jenayah komersial mencatatkan peningkatan sejak tiga tahun lalu, walaupun indeks jenayah di seluruh negara mencatatkan penurunan sebanyak 36 peratus.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Zainuddin Yaacob berkata, jumlah kes jenayah komersial didapati meningkat sejak 2018, iaitu daripada 24,262 kepada 26,465 kes (2019) dan 27,323 kes (2020).

"Ini kerana jenayah komersial tidak perlu bersemuka, contohnya scam dan penipuan pinjaman yang boleh dibuat melalui panggilan telefon atau secara dalam talian, mungkin pemanggil berada di Kuala Lumpur (sebagai contoh) dan membuat panggilan ke Johor Bahru untuk menipu mangsa di sana," katanya pada sidang media selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Menurutnya lagi pada 2018, sebanyak 13,645 tangkapan dan 7,927 pertuduhan telah dibuat membabitkan jenayah komersial di negara ini.

"Jumlah tersebut meningkat kepada 13,835 tangkapan dan 9,875 pertuduhan pada 2019, dan 15,440 tangkapan dan 10,097 pertuduhan pada 2020, manakala bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 4,196 tangkapan dan 2,372 pertuduhan telah dibuat," katanya.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: April 12, 2021 @ 4:19pm
d