mutakhir

Gubah wang haram: Alvin Goh, adik mengaku tidak bersalah [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Ahli perniagaan dikenali sebagai Alvin Goh dan adik lelakinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap tujuh pertuduhan terbabit aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.14 juta, dua tahun lalu.

Alvin atau nama sebenarnya Goh Leong Yeong, 32, dan adiknya, Goh Yeong Hui, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

Mengikut pertuduhan, mereka sebagai Pengarah Syarikat Malaysia House of Internet Sdn Bhd didakwa menerima wang daripada dua individu iaitu Wang Hangang dan Feng Chuang melalui akaun syarikatnya dengan jumlah keseluruhan RM2.14 juta, yang mana wang itu hasil daripada aktiviti haram.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Public Bank Berhad, Jalan Bukit Bintang di sini, antara 9 Oktober 2019 sehingga 5 November 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Lee Keng Fatt memohon jaminan RM300,000 dengan mengambil kira keseriusan kes selain tertuduh pernah melarikan diri sehingga diburu pihak berkuasa.

"OKT (orang kena tahan) pertama (Alvin Goh) pernah melarikan diri daripada polis selepas dilepaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sehingga mengambil masa beberapa minggu untuk dikesan dan ditangkap semula.

"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pula ada mengeluarkan kenyataan mencari OKT kedua (Yeong Hui) pada 5 November 2020 selepas gagal dikesan untuk pertuduhan di Mahkamah Semenyih," katanya.

Peguam Jacky Loi kemudian memohon jaminan RM30,000 terhadap dua anak guamnya kerana ia adalah tahap kemampuan tertuduh dan keluarga.

Sementara itu, Alvin Goh turut merayu jaminan rendah kerana wang syarikatnya berjumlah RM400,000 sudah dibekukan oleh pihak berkuasa bagi siasatan kes berkenaan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM200,000 dengan seorang penjamin selain Yeong Hui perlu melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 24 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Disiarkan pada: April 12, 2021 @ 4:35pm
d