mutakhir

PKPB kekal di 6 negeri [METROTV]

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih kekal di enam negeri.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat kerajaan berikut jumlah kes yang masih tinggi selain banyak zon merah di negeri berkenaan.

Katanya, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak masih melaksanakan PKPB manakala Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah, Kuala Lumpur dan Labuan pula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Trend menunjukkan kes menurun namun masih banyak zon merah dikesan di negeri berkenaan manakala masih banyak zon merah dan jingga di Kuala Lumpur.

"Johor menunjukkan insiden kes menurun dengan zon merah berkurangan dan zon hijau, zon kuning meningkat manakala Pulau Pinang kes masih tinggi dan zon merah masih banyak.

"Manakala di Kelantan, jumlah kes dan trend meningkat dengan pertambahan zon merah manakala Sarawak kadar insiden meningkat dan pertambahan zon merah," katanya dalam sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan, hari ini.

Menurutnya, pengekalan status PKPB dan PKPP bagi negeri ini akan berkuat kuasa bermula Khamis ini hingga 28 April kecuali Sarawak yang bermula esok hingga 26 April depan.

Beliau berkata, rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP melalui konsep gelembung pelancongan hijau menggunakan syarikat dan ejen pelancongan yang berdaftar.

Disiarkan pada: April 12, 2021 @ 8:05pm
d