mutakhir

Cemas pokok tumbang

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Hujan lebat sejak petang tadi menyebabkan pokok tumbang di beberapa kawasan di sini, hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan empat kes pokok tumbang di sekitar pusat bandar raya.

Jurucakap bomba berkata, kes pertama di Taman Rama-Rama Cenderasari, Bukir Aman di mana jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah ke lokasi kejadian pada 6.23 petang di mana tiada mangsa terbabit.

Menurutnya, lokasi kedua adalah di Jalan Perkasa, Taman Maluri di mana BBP Pudu ke lokasi pada 6.39 petang.

Katanya, seorang wanita dan empat anaknya terselamat selepas terperangkap dalam rumah akibat pokok tumbang, hari ini.

"Dalam kejadian itu, bomba menyelamatkan seorang wanita dewasa dan empat kanak-kanak namun mereka tidak mengalami kecederaan.

"Lokasi ketiga pokok tumbang adalah di Pondok Polis Permaisuri, Bandar Sri Permaisuri dan Taman Ikan Emas Jalan Kaskas di mana BBP Bandar Tun Razak ke lokasi kejadian 6.57 petang namun tiada mangsa terbabit," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya, lokasi lain pokok tumbang adalah di Pangsapuri Indah Mas dan Taman Shamelin Perkasa di mana BBP Cheras ke lokasi kejadian jam 7.04 malam di mana tiada mangsa terbabit,

"Tindakan anggota memotong dan mengalihkan pokok tumbang seterusnya memastikan kawasan dalam keadaan selamat," katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2021 @ 9:26pm
d