mutakhir

Suami tidak mengaku mencederakan isteri [METROTV]

Oleh Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencederakan isteri termasuk menamparnya dalam kejadian pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, Mohd Hafizul Muhammad, 37, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyime Rosli.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya, Hilwa Muhamad, 37, di sebuah rumah di Kampung Huda, Kubang Kerian di sini, pada 3.30 petang 8 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan tertuduh boleh dipenjara sehingga setahun atau didenda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan pula, tertuduh boleh dipenjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahril Ramli yang menawarkan jaminan sebanyak RM7,000 dengan syarat tertuduh tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Bagaimanapun, tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon jaminan yang minimum dikenakan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Disiarkan pada: April 13, 2021 @ 2:45pm
d