mutakhir

Terkejut menantu pergi dulu

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: "Dia menantu yang baik, peribadi, akhlak dan percakapannya disenangi semua orang dalam keluarga kami," kata Mohiddin Hamzah, 65.

Dia adalah bapa mentua kepada Muhammad Hafidz Abdullah, 36, penuntut Malaysia yang meninggal dunia di United Kingdom, Khamis lalu.

Muhammad Hafidz dikatakan rebah selepas bermain bola sepak dan meninggal dunia di Unit Rawatan Kritikal, Northern General Hospital di Sheffield, United Kingdom.

Mohiddin berkata, beliau terkejut selepas mendapat berita itu daripada anaknya yang juga isteri Allahyarham, Nazihahwati Mohidin, 36, yang menghubunginya dari United Kingdom.

"Anak (Nazihahwati) yang hubungi kami memberitahu mengenai keadaan yang berlaku selepas dia mendapat maklumat mengenai kejadian menimpa suaminya daripada pelajar lain.

"Walaupun dia (arwah) hanya berstatuskan menantu, tetapi ini suatu kehilangan bagi kami sekeluarga kerana dia anak yang baik.

"Dari segi pengetahuan agama pun bagus, pergaulan dalam keluarga juga baik dan beliau seorang yang menyayangi ahli keluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya, di Kampung Semarak Rahang, di sini, hari ini.

Mohiddin berkata, mereka sekeluarga sedih dengan pemergiannya kerana beliau mesra dengan kalangan ahli keluarga kami dan sanak saudara yang lain.

Menurutnya, mengikut pengetahuannya, arwah tidak menghadapi masalah kesihatan yang serius kecuali terdapat sedikit masalah darah tinggi.

Katanya, setiap hari dia atau ahli keluarga membuat panggilan video dengan arwah bagi bertanyakan khabar dan tiada menunjukkan menantunya itu menghadapi masalah kesihatan.

"Malah, anak saya (isteri arwah) tidak pernah memberitahu Muhammad Hafidz ada menghadapi masalah kesihatan.

"Dia juga ada memberitahu kami kira-kira sebulan lalu mengenai cadangan mereka untuk pulang seketika ke Malaysia tahun ini, tetapi tarikh belum ditetapkan.

"Sejak memulakan pengajian peringkat PhD di University of Sheffield United Kingdom pada September 2019, mereka belum berkesempatan pulang ke Malaysia, tambahan pula wabak Covid-19 mula melanda negara ini awal tahun lalu," katanya.

Menurut Mohiddin, menantu keduanya itu adalah kakitangan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pusat dan mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di bawah tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selama empat tahun.

"Apa pun, kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT yang ditakdirkan dia pergi dulu.

"Anak saya terkejut dan sedih dengan pemergian suami, namun apa yang saya banggakan pelajar di sana membantu seperti ahli keluarga sendiri," katanya.

Katanya, selain Nazihahwati, arwah meninggalkan dua anak berusia tujuh dan sembilan tahun.

"Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang hari ini," katanya. Sementara itu, emak saudara arwah, Kamariah Salleh, 51, akui sedih dengan pemergian Muhammad Hafidz.

"Sepanjang pengetahuan saya beliau sihat dan tidak pernah mengalami apa-apa penyakit," katanya.

Media melaporkan rebah selepas bermain bola sepak meninggal dunia semalam di Unit Rawatan Kritikal, Northern General Hospital di Sheffield, United Kingdom.

Bapa kepada dua anak yang berasal dari Pontian, Johor meninggal dunia, 8 April lalu.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: April 13, 2021 @ 11:10pm
d