mutakhir

Pinjam RM1,000, lesap lebih RM6,000

Oleh Shahrinnahar Latib

Kuantan: Ingin membuat pinjaman hanya RM1,000 tetapi perlu membayar sehingga RM6,360.

Itu yang terjadi kepada seorang pelajar lelaki di sini selepas diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud selepas melayari laman web, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada apabila mangsa berusia 22 tahun melayari satu laman web dan tertarik dengan iklan pinjaman wang.

"Mangsa kemudian mendaftarkan butir-butir peribadi sebelum dihubungi oleh seorang lelaki kononnya dari sebuah syarikat pinjaman wang.

"Hasil perbincangan dengan suspek, mangsa bersetuju membuat pinjaman wang dengan syarikat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi mendapatkan pinjaman berkenaan, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran yang dianggarkan RM6,360 membabitkan lima transaksi ke dalam akaun yang diberikan suspek.

Namun sehingga kini, mangsa belum menerima wang pinjaman berkenaan dan diminta untuk membuat bayaran lagi.

"Mangsa juga menerima panggilan kononnya daripada majikan syarikat berkenaan yang memarahi mangsa sebab melanggar perjanjian dan memintanya memasukkan wang lagi wang sebanyak RM700 dan RM560 ke akaun yang sama.

"Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," katanya.

Difahamkan, mangsa terpaksa menggunakan duit simpanannya dan meminjam wang daripada keluarga serta rakannya untuk membayar wang memproses permohonan pinjamannya.

Disiarkan pada: April 14, 2021 @ 8:28am
d