mutakhir

AKSEM rampas kosmetik dan pewangi tiruan bernilai RM177,090 [METROTV]

Oleh Aizat Sharif

Padang Besar: Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) Perlis merampas barangan kosmetik dan pewangi tiruan pelbagai jenama bernilai RM177,090 selepas menyerbu sebuah rumah di sini, semalam.

Komander AKSEM Perlis, Deputi Superintendan Azizan Saman berkata, serbuan dilakukan kira-kira 1 tengah hari di Rumah Perumahan Awam (RPA) Padang Besar Utara selepas anggotanya menahan seorang lelaki berusia 50-an di kediaman berkenaan.

"Serbuan dilakukan hasil maklumat dan risikan anggota kita selama seminggu yang mendapati rumah berkenaan dijadikan transit untuk memasarkan barangan kosmetik dan pewangi tiruan ke Thailand.

"Siasatan awal kita mendapati, suspek sudah pun menjalankan aktiviti berkenaan selama setahun dan dia dipercayai mendapat bekalan barangan kosmetik termasuk kolagen wanita dan pewangi tiruan pelbagai jenama itu dari Kuala Lumpur dan dibawa ke Perlis menggunakan lori," katanya kepada media di Pejabat AKSEM Padang Besar, di sini semalam.

Katanya, barangan berkenaan kemudian akan dibawa masuk ke Thailand secara berperingkat sekiranya terdapat permintaan.

"Pengedaran barangan ini ke Thailand akan dilakukan oleh 'tentera semut' atau ejennya yang akan membawa barangan lain seperti barangan keperluan dan runcit yang sah bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Barangan ini kemudian dipasarkan menggunakan harga seperti kosmetik dan pewangi yang tulen atau sah yang memberi maksud di sini seandainya modal minyak wangi tiruan seperti ini adalah antara RM60 hingga RM80 di negara ini, ia akan dijual di negara jiran mencecah antara RM300 dan RM400 seperti harga barangan berkenaan yang asli," katanya.

Beliau berkata, kesemua barangan kosmetik berkenaan juga tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Suspek diserahkan kepada KKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perlis untuk siasatan lanjut mengikut Akta Racun 1952.

Disiarkan pada: April 14, 2021 @ 8:34am
d