mutakhir

Kanak-kanak cedera digigit anjing liar

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak cedera di badan dan kepala selepas digigit anjing liar yang berkeliaran di kawasan rumahnya di Seksyen 2, Wangsa Maju pada petang Selasa.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang selepas kanak-kanak itu pulang dari sekolah agama sesi petang.

Ibu mangsa, Norhafizah Abdul Ghafar berkata anaknya Syauqina Rifqa Sarnizam, 11, digigit anjing liar selepas mangsa pergi menghalau anjing yang menghampiri kawasan arnab peliharaannya.

"Anak saya sudah sampai di depan rumah selepas balik sekolah dan pada masa sama saya terdengar bunyi salakan anjing.

"Anak saya memberitahu dia ingin pergi menghalau anjing yang datang ke kawasan sangkar arnab peliharaan kami. Saya tidak benarkan dan meminta dia tunggu saya datang sekali, tapi dia tetap pergi sendiri. Tidak sampai beberapa saat kemudian, saya dengar dia menjerit," katanya.

Norhafizah berkata selepas itu dia melihat anaknya dalam keadaan tertiarap dengan dua ekor anjing liar sedang memandang ke arahnya.

"Saya cuba halau, tetapi anjing itu tetap berada di situ dan hanya pergi selepas suami saya menghalau dan mengejar anjing-anjing berkenaan," katanya.

Beliau berkata anaknya mengalami kecederaan di bahagian kepala, lengan kiri, betis kaki kanan dan bahagian belakang badan.

"Selepas kejadian, jiran saya membantu membawa Syauqina ke Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan sebelum kemudiannya dipindahkan ke Hospital Gleneagles Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan lanjut," tambahnya.

Menurut Norhafizah, banyak anjing liar di kawasan perumahannya dan beliau sudah membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak tahun lalu untuk menangkap haiwan liar ini.

Tambahnya lagi, suaminya akan membuat laporan kepada DBKL mengenai perkara ini bagi membolehkan tindakan lanjut diambil dengan segera, sekaligus mengelakkan perkara sama berulang.

Disiarkan pada: April 14, 2021 @ 2:31pm
d