mutakhir

Kes lelaki dipukul majikan: 4 individu ditahan

Oleh Norzamira Che Noh dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Klang: Polis menahan empat individu dipercayai terbabit dalam kejadian dua lelaki dipukul di belakang badan dengan rotan oleh majikannya seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu.

"Kes disiasat mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan.

"Semua suspek akan direman di Mahkamah Klang esok (Khamis)," katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku ketika lelaki berkenaan berada di rumah majikannya di Bukit Tinggi, dekat sini.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada majikan memarahi mangsa kerana berpuasa dan lelaki itu juga mengambil pistol yang berada di pinggang seorang daripada dua mangsa dan mengacukan ke arahnya dan mengeluarkan ugutan yang menghina agama.

"Bagaimanapun, Polis Klang Selatan ingin menegaskan bahawa kes ini tidak membabitkan sebarang isu perkauman.

"Masyarakat atau mana-mana individu dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial dengan berkongsi sebarang provokasi yang boleh menyentuh sensitiviti perkauman sehingga menjejaskan keharmonian kaum.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang bertindak di luar batasan undang- undang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan ahli perniagaan antara empat individu ditahan berkaitan kes itu.

Katanya, lelaki berusia 43 tahun itu ditahan 8.20 malam tadi di ibu kota hasil risikan polis susulan laporan dibuat mangsa.

"Ya suspek sudah ditahan malam tadi dan akan direman pagi esok (Khamis) untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: April 15, 2021 @ 12:14am
d