mutakhir

Rempuh api marak demi selamatkan keluarga

Oleh Hassan Omar

Masjid Tanah: Biarpun api sedang marak, Sulaiman Kaus, 42, tekad merempuhnya bagi menyelamatkan lima ahli keluarganya dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka di Kampung Durian Daun di sini, pada jam 3 pagi tadi.

Dia sanggup keluar masuk rumah yang sedang terbakar itu beberapa kali bagi menyelamatkan ibu mentua berusia 79 tahun, isterinya berusia 42 tahun dan tiga anak masing-masing berusia empat, lima dan enam tahun serta sempat mengambil beberapa dokumen penting.

Kejadian itu menyebabkan Sulaiman cedera pada lengan dan bahu kanan serta belakang badannya namun hanya menyedarinya selepas selesai api selesai dipadamkan oleh pasukan bomba.

Keseluruhan rumah tradisional Melaka yang dibina arwah bapa mentuanya, Basir Fazaldin pada 1965 itu musnah dalam kejadian itu.

Menceritakan detik cemas itu, Sulaiman yang bertugas sebagai juruteknik di sebuah kilang di Alor Gajah berkata, ketika kejadian dia dan isteri, Siti Faismah Basir tidur dalam sebuah bilik manakala ibu mentua, Norisah Tahir dan tiga anak tidur dalam bilik masing-masing.

"Saya dikejutkan oleh isteri yang menyedari api marak dari bahagian anjung rumah dan sudah sampai ke ruang tamu.

"Saya dan isteri segera membawa ibu dan anak-anak keluar dari rumah dalam keadaan terpaksa bertarung dengan bahang api yang sangat panas," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Selepas membawa mereka ke bukit di belakang rumah, Sulaiman berkata dia masuk semula ke dalam rumah untuk mengambil MyKad dan beberapa dokumen penting yang lain.

Dia berkata, menyedari kereta Perodua Alza masih mampu diselamatkan, sekali lagi ke dalam rumah untuk mengambil kunci kereta sebelum memindahkannya ke halaman rumah.

"Saya tidak sedar bila lengan dan bahu kanan melecur, cuma selepas keadaan semakin tenang dan api berjaya dipadamkan oleh anggota bomba, baharulah sedar akan kecederaan yang dialami," katanya.

Sulaiman dibawa ke Hospital Alor Gajah oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan diberikan rawatan pesakit luar.

Berikutan kejadian itu, Sulaiman bercadang membawa anggota keluarganya ke kediaman pusaka ibu bapanya di Kampung Solok Air Batu, kira-kira dua kilometer dari Kampung Durian Daun.

Siti Faismah yang jugu guru di Sekolah Kebangsaan Sri Laksamana ketika ditemui berkata, Ramadan dan Aidilfitri tahun ini akan berbeza kerana segalanya musnah bersama-sama rumah yang sudah menjadi abu.

"Namun demikian, saya, suami, ibu dan tiga anak kami tetap tabah menghadapi ujian pada awal Ramadan ini kerana segala-galanya adalah atas kehendak-Nya juga dan kita harus menerimanya dengan reda.

"Kami sempat membeli beberapa pasang baju untuk persiapan Aidilfitri anak-anak kami minggu lalu," katanya.

Sementara itu, Norisah berkata, dia sedih akan kejadian yang memusnahkan rumah pusaka peninggalan arwah suaminya namun bersyukur mereka sekeluarga selamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka, Penolong Penguasa Bomba, Soon We Kiang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 3.03 pagi dan menghantar satu jentera dengan kekuatan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah tiba ke lokasi.

"Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah tiba di tempat kejadian pada 3.08 pagi.

"Sebuah rumah separuh kekal terbakar hampir 90 peratus dan enam orang dari satu keluarga berjaya menyelamatkan diri dan operasi memadamkan kebakaran ditamatkan pada 6.49 pagi," katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2021 @ 11:42am
d