mutakhir

Suspek pukul pengawal peribadi berpuasa dipercayai tauke judi

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Hazri A Bakar

Klang: Suspek utama yang membelasah pengawal peribadi dan rakannya kerana berpuasa dipercayai menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.

Malah, ketika serbuan dilakukan di Bukit Tinggi, di sini, polis turut menemui wang tunai dan jongkong emas bernilai hampir RM30 juta di premis berkenaan.

Individu terbabit dikatakan 'kepala' sindiket yang sudah menjalankan perniagaan haram itu sejak lima tahun lalu di beberapa lokasi di negara ini.

Sumber memberitahu Harian Metro, individu berusia 40-an terbabit dikatakan menjalankan kegiatan nombor ekor tidak berlesen dan penggunaan pengawal peribadi sebagai perlindungan daripada musuh perniagaan.

"Individu terbabit menjalankan operasi haramnya di beberapa tempat termasuk di Perak, Kuala Lumpur dan Pahang," katanya.

Terdahulu, dua pengawal peribadi dibelasah dan diacukan pistol disebabkan enggan menuruti arahan majikan supaya tidak berpuasa.

Mangsa berusia 43 tahun bersama seorang lagi rakan sekerja dibelasah menggunakan rotan oleh majikannya di rumah di Batu Nilam, Klang.

Susulan itu, polis menahan empat individu dipercayai terbabit dalam kejadian dua lelaki dipukul di belakang badan dengan rotan oleh majikannya seperti tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli dilaporkan berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan, 506 Kanun Keseksaan dan 298 Kanun Keseksaan.

Mahkamah Majistret Klang membenarkan permohonan polis untuk menahan reman semua empat suspek selama tiga hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Berita berkaitan

'Dibelasah kerana berpuasa'

'Kes lelaki dipukul majikan: 4 individu ditahan'

'Dia tanya you pilih Allah ka mahu pilih saya?'

'Ahli perniagaan pukul pengawal peribadi direman hingga Sabtu [METROTV]'

Disiarkan pada: April 15, 2021 @ 1:29pm
d