mutakhir

Dera 2 anak untuk paksa isteri pulang

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Polis menahan seorang lelaki yang disyaki mendera dua anaknya di sebuah rumah di Kampung Andung, Jalan Kabogan dekat sini, jam 7 pagi tadi.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video perbuatan lelaki terbabit terhadap dua anaknya sejak kelmarin.

Dalam dua klip video masing-masing berdurasi 26 dan 16 saat, lelaki itu kelihatan berkali-kali memijak kaki, perut, leher dan kepala mangsa selain mengacu pisau sambil mengugut mahu membunuh kanak-kanak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek yang berusia 20 tahun ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan BSJ IPD Semporna, susulan laporan polis yang diterima semalam.

"Hasil siasatan awal, motif kejadian berpunca daripada krisis rumah tangga antara suspek dan isterinya.

"Tujuan suspek mendera dua anak yang masing-masing berumur dua dan lima tahun ialah untuk mengugut isterinya supaya pulang ke rumah mereka," katanya pada sidang media di sini.

Menurut Peter, pihaknya turut merampas telefon bimbit dipercayai digunakan suspek untuk merakam video berkenaan selain sebilah pisau berukuran 31 sentimeter.

Katanya, kedua-dua kanak-kanak itu turut diselamatkan sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan.

"Suspek akan direman bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Disiarkan pada: April 15, 2021 @ 4:35pm
d