mutakhir

Kesan pemandu kereta tukar lorong sebabkan kemalangan

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Polis sedang mengesan pemandu kereta yang terbabit kemalangan dengan sebuah motosikal sehingga menyebabkan penunggangnya cedera, dalam kejadian di Jalan Tun Abdul Razak - Lebuh Ayer Keroh, di sini, semalam.

Dalam kejadian 5.15 petang semalam, seorang pemandu lori cedera selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dipercayai Proton Saga.

Video kemalangan berdurasi 29 saat yang tular menunjukkan penunggang motosikal merempuh sebuah kereta selepas tidak sempat mengelak apabila kenderaan terbabit menukar lorong secara tiba-tiba.

Sejurus kemalangan, pemandu kereta terus memandu keretanya meninggalkan lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, sehingga 2.45 petang hari ini, pemandu kereta dipercayai terbabit dalam kemalangan itu belum tampil membuat laporan.

"Bagaimanapun maklumat membabitkan penunggang motosikal berusia 27 tahun sudah kami peroleh dan dia cedera di punggung dan paha kiri akibat kemalangan itu.

"Usaha mengesan pemandu kereta terbabit sedang dijalankan dan kami meminta dia untuk tampil membantu siasatan.

"Kemalangan berlaku apabila pemandu kereta terbabit yang berada di lorong kanan mengubah haluan ke sebelah kiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: April 15, 2021 @ 5:01pm
d