mutakhir

SOP bazar Ramadan dah OK.. tak perlu tambah apa-apa

Oleh Samadi Ahmad

Sepang: Prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 untuk bazar Ramadan sedia ada sudah lengkap dan tidak perlu wujud penambahan garis panduan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata, beliau yakin pengunjung dan peniaga akan mematuhi SOP dengan pemantauan penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam tempoh lima atau enam hari lagi.

Menurutnya, pengunjung dan peniaga perlu mematuhi SOP kerana ia mudah dilakukan dengan mengutamakan penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

Katanya, pada peringkat awal ini orang ramai mungkin berasa terlalu gembira selepas mendapat peluang untuk berkunjung ke bazar Ramadan sehingga mengabaikan SOP.

"Saya yakin lima atau enam hari lagi pengunjung dan peniaga akan patuh SOP dengan pemantauan penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya selepas mengadakan lawatan kerja Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ke Majlis Perbandaran Kuala Langat di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah KPKT, Datuk Noor Ihsan Che Mat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim.

Pada lawatan itu KPKT menyalurkan peruntukan RM5 juta kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat bagi pembangunan ekonomi, RM1 juta bagi penambah baikan kemudahan tempat pelancongan dan RM300,000 pembaikan flat Taman Langat Utama.

Kelmarin, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menurunkan kuasa mengkompaun pesalah SOP kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan Pegawai PBT Gred 19 bagi kesalahan bawah Akta 342.

Disiarkan pada: April 15, 2021 @ 7:14pm
d