mutakhir

Syukur dah tak perlu berkurung dalam bilik tidur

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Pasangan warga emas uzur di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, ceria menyambut Ramadan apabila rumah mereka yang hampir runtuh berjaya dibaiki, semalam.

Malah, mereka juga sudah boleh bergerak bebas berbanding sebelum ini terpaksa berkurung dalam bilik tidur berikutan lantai papan seluruh rumah reput.

Che Minah Che Long, 73, berkata, dia tinggal bersama suami, Mohd Noor Awang Ngah, 80, yang lumpuh diserang angin ahmar sejak 17 tahun lalu.

Dia juga hanya mempunyai seorang anak lelaki, tetapi tidak tinggal bersama kerana bekerja di sebuah syarikat ladang sawit di pedalaman daerah ini.

Menurutnya, pendapatan hasil bayaran sara hidup ladang RM700 sebulan hanya terhad untuk perbelanjaan makan dan minum.

"Mak cik tidak mampu membaiki rumah yang berkeadaan daif ini. Lagi pun mak cik sendiri uzur dan terpaksa jaga suami yang lumpuh kena strok.

"Nasib baik mak cik mendapat perhatian banyak pihak termasuk wakil rakyat, Amran Ariffin membantu membaiki rumah mak cik ini untuk keselesaan menyambut puasa," katanya di sini, semalam.

Menurut Che Minah, rumahnya berusia lebih 42 tahun menyebabkan lantai papan rumah reput di makan anai-anai dan hendak bergerak untuk memasak di dapur pun tidak boleh.

"Jika tidak, papan lantai rumah mak cik apabila dipijak terus patah dan kerap hampir terjatuh ke tanah," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paloh, Amran Arifin pula berkata, pihaknya mengambil inisiatif menyumbang papan bagi membaiki rumah itu.

Katanya, pembaikan rumah pasangan warga emas itu dilakukan secara gotong-royong bagi memberi keselesaan menyambut Ramadan.

"Alhamdulillah, kami mengambil masa sehari untuk membaik pulih rumah pasangan warga emas terbabit hari ini (semalam)," katanya.

Disiarkan pada: April 16, 2021 @ 6:00am
d