mutakhir

Cari pasal tulis komen ugutan

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Polis membuka kertas siasatan berhubung ayat berbaur ugutan jenayah terhadap Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang dibuat pemilik akaun Facebook (FB), semalam.

Ugutan itu dibuat dalam ruangan komen ketika Uggah sedang mengadakan sidang media harian perkembangan Covid-19 Sarawak yang disiarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) menerusi FB Live.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung perkara berkenaan.

"Ya, polis ada menerima laporan dan kertas siasatan sudah dibuka," katanya ringkas ketika dihubungi menerusi aplikasi Whatsapp, hari ini.

Ketika sidang media itu disiarkan kira-kira jam 4 petang semalam, pemilik akaun menulis komen: "Kalau kau sebut PKP kat Sarawak aku bunuh kau Unggah PUI JBNS jom penuh kan emoji marah kat sitok simbolik #nopkpkin Sarawak."

Susulan itu, ramai netizen mengecam pemilik akaun terbabit dan mahu polis bertindak sewajarnya.

Bagaimanapun, semakan mendapati nama serta gambar pemilik akaun FB itu adalah seorang murid sebuah sekolah rendah di Batu Kawa.

Disiarkan pada: April 16, 2021 @ 10:14am
d