mutakhir

Wave Awards 2021 tawar hadiah RM33,000

Oleh Hajar Umira Md Zaki

Kuala Lumpur: Fakulti Filem Teater dan Animasi (FITA), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Puncak Perdana menerusi Program Wave Awards 2021, menawarkan hadiah terkumpul berjumlah RM33,000 untuk dimenangi.

Sesiapa sahaja yang mampu menghasilkan filem pendek dan tarian itu berpeluang merangkul hadiah utama berupa wang tunai sebanyak RM5,000, tempat kedua (RM3,000), ketiga (RM1,000), Anugerah Pilihan Khalayak (RM3,000) beserta trofi dan sijil penghargaan.

Untuk rekod, Program Wave Awards 2021 itu terbahagi kepada dua kategori iaitu, kategori filem pendek dan tarian.

Dekan Fakulti FITA, Datuk Dr A Razak Mohaideen berkata, biarpun negara dilanda pandemik Covid-19, ia tidak menghalang bakat dan kreativiti anak-anak muda.

Menurutnya, mereka lebih berpeluang menonjolkan idea dan kreativiti melalui penggunaan tekenologi serta kamera dengan menyertai pertandingan dianjurkan.

Katanya, Program Wave Awards 2021 yang bertemakan 'Unleashing Creative Wonders' ini dianjurkan dengan kerjasama Yayasan Hartanah dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Program ini diadakan adalah bagi mengangkat peranan serta fungsi filem dan tarian dengan lebih luas," katanya.

Penyertaan di Wave Awards 2021 adalah percuma dan terbuka kepada semua pihak termasuklah pelajar, penuntut universiti dan orang awam.

Pertandingan bagi program berkenaan dilanjutkan sehingga 15 Jun 2021 dan pemenang bakal diumumkan pada malam kemuncak Wave Awards 2021 iaitu pada 9 Julai 2021 secara dalam talian.

Maklumat lanjut mengenai syarat dan penyertaan boleh melayari laman web www.waveawards.my.

Disiarkan pada: April 16, 2021 @ 4:21pm
d