mutakhir

2 ditahan jual mercun

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Tindakan dua lelaki memiliki dan menjual mercun secara terbuka di tapak niaga Jalan Pantai Permai 1, Pantai Dalam, di sini, mengundang padah apabila mereka ditahan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, serbuan itu dilakukan anggota Balai Polis Pantai di lokasi berkenaan jam 11.30 malam.

"Dalam serbuan itu, kami menahan dua lelaki berusia 28 hingga 30 tahun yang dipercayai menjual dan memiliki mercun.

"Kami turut merampas pelbagai jenis dan jenama mercun selain satu tong plastik, satu meja lipat, satu khemah dan beberapa barangan lain dalam serbuan itu. Nilai rampasan dianggarkan RM10,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

"Orang awam dinasihatkan supaya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan kerajaan dan tidak menjalankan perniagaan tanpa permit sah serta menjual barangan terlarang sama ada secara terbuka atau tertutup.

"Sebarang pertanyaan atau maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Disiarkan pada: April 17, 2021 @ 2:33pm
d