mutakhir

Pembayaran zakat, fitrah dan sedekah menerusi aplikasi

Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

Susulan situasi pandemik yang melanda, pengguna hari ini tidak lagi perlu bersemuka untuk melakukan amal kebajikan seperti pembayaran zakat, wakaf serta wang sedekah.

  Kemajuan teknologi hari ini boleh dimanfaatkan sepenuhnya dengan kewujudan aplikasi yang membolehkan semua transaksi itu dilaksanakan.

  Sehubungan itu, inisiatif aplikasi Tulus sebagai sebuah platform pembayaran beretika yang mematuhi asas syariah dibangunkan oleh Tulus Digital Sdn Bhd (Tulus Digital), memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk melaksanakan pembayaran pelbagai urusan berkaitan amal jariah dengan mudah dan telus.

  Pengerusi Eksekutif Tulus Digital Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, aplikasi mudah alih berkenaan memberikan kemudahan pembayaran secara digital kepada pengguna tanpa mengira masa dan lokasi mereka dengan menggabungkan semua organisasi Islamik yang merangkumi perkhidmatan pembayaran zakat, wakaf, infaq dan sedekah.

  "Istimewanya di bulan Ramadan kali ini, aplikasi Tulus turut menyediakan saluran pembayaran zakat fitrah bagi sembilan negeri di Malaysia yang merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan serta Perlis." katanya.

  Menurutnya, Tulus juga menjalin kerjasama strategik dengan Touch 'n Go eWallet dan Ikhlas.com bagi pembayaran zakat di bulan Ramadan ini.

  Katanya, Tulus Digital juga menyediakan pembayaran bagi imbasan kod QR melalui aplikasi SnapNPay yang boleh digunakan untuk pembayaran zakat fitrah untuk kesemua negeri-negeri yang tersenarai di atas termasuk Perak.

  Aplikasi mudah alih Tulus dan SnapNPay boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple iOS Store.

  Selain itu, bayaran zakat ke setiap negeri juga boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang https://tulus.app

  Mohd Daud berkata, syarikatnya juga optimis untuk membantu 800,000 sehingga 1 juta pembayar zakat dalam menunaikan kewajipan mereka pada Ramadan tahun ini.

  "Bagi perancangan masa hadapan, kami berhasrat untuk meluaskan perkhidmatan yang terdapat di aplikasi membabitkan pembayaran bagi pelbagai urusan amal jariah yang lain termasuk ibadah korban, aqiqah, khairat, takaful dan seumpamanya," katanya.

 

Disiarkan pada: April 17, 2021 @ 10:51pm
d