mutakhir

Polis sedang kesan syarikat judi dalam talian

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Polis kini sedang menyiasat syarikat yang menawarkan perjudian dalam talian terbabit dengan penularan dua klip video iklan judi raya baru-baru ini.

Timbalan Pengarah (Risikan Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, setakat ini pihaknya sudah menahan 13 individu yang terbabit dengan penghasilan kedua-dua video itu.

Beliau berkata, sembilan daripada mereka ditahan berkaitan video pertama yang tular pada 16 April, manakala empat lagi individu ditahan berkaitan dengan penularan video kedua yang tular semalam.

Katanya, mereka terdiri daripada penerbit dan pekerja sebuah syarikat penerbitan video berkenaan serta pelakonnya.

Dev berkata, siasatan kini dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu melakukan sesuatu untuk memecahkan keamanan; Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah judi terbuka.

"Ketika ini kami sedang menyiasat sama ada syarikat perjudian itu milik tempatan atau luar negara.

"Setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan dua video iklan sedemikian yang dimuat naik pada 16 dan 17 April.

"Kesemua individu yang ditahan itu kini ditahan reman sehingga esok," katanya pada sidang media berkaitan penularan video iklan judi raya, baru-baru ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Dev berkata, individu yang ditahan itu mempunyai kaitan dengan kedua-dua video berkenaan.

Katanya, pihaknya yakin akan dapat mengesan syarikat yang mendapatkan perkhidmatan syarikat penerbitan itu hasil siasatan terhadap individu yang ditahan.

Sementara itu, Fadhlullah berkata, semua pihak dinasihatkan untuk tidak memuatnaik dan menularkan semula video iklan berkenaan atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

"Buat masa ini kita pesan jangan lah tularkan. Tetapi kalau masih tular, jangan marah kalau kena tahan," katanya.

Pada masa sama, Saifuddin menasihatkan orang awam untuk tidak menyalahgunakan kebebasan media yang dipertahankan kerajaan ketika ini.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang melanggar undang-undang perlu bersedia untuk dikenakan hukuman.

"Kita amalkan kebebasan media tetapi tidak bermakna kita boleh menipu dan menyebarkan berita palsu," katanya.

Disiarkan pada: April 18, 2021 @ 2:13pm
d