mutakhir

Kadar jangkitan petugas kesihatan rendah selepas divaksin

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Bilangan 40 petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 adalah sangat kecil berbanding 438,000 atau 99.9 peratus yang tidak dijangkiti selepas menerima dua dos vaksin.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, jumlah itu juga menunjukkan kejayaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu apabila menunjukkan penurunan 10 kali ganda berbanding berbanding purata 436 kes sebulan sebelum divaksinkan ketika gelombang pertama Covid-19 melanda negara pada Mac tahun lalu.

Beliau berkata, bilangan 40 orang yang dijangkiti berbanding 438,000 petugas kesihatan yang melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 adalah peratusan yang sangat kecil.

"Sebanyak 99.9 peratus (petugas kesihatan) yang menerima dua dos vaksin tidak dijangkiti Covid-19 walaupun mereka adalah barisan hadapan yang setiap hari berurusan dengan pesakit Covid-19.

"Mereka ini lebih terdedah kepada risiko jangkitan kerana kita sedia maklum kes positif pada hari ini adalah tinggi iaitu mencecah 2,000 kes positif sehari berbanding hanya puluhan dan ratusan kes positif pada tahun lalu.

"Dalam kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), 40 petugas kesihatan yang dijangkiti Covid-19 didapati tidak menunjukkan gejala teruk dan ia selari dengan perkembangan di negara yang lebih awal melaksanakan program vaksinasi iaitu penurunan yang signifikan dalam kes Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: April 18, 2021 @ 7:15pm
    d