mutakhir

Tutup bazar Ramadan pilihan terakhir

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Penutupan bazar Ramadan adalah pilihan terakhir yang akan diambil sekiranya kes jangkitan Covid-19 di Wilayah Persekutuan meningkat dengan mendadak.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menyarankan semua peniaga dan pembeli mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, ia bagi mengelakkan wujudnya kluster bazar Ramadan di Wilayah Persekutuan.

"Kalau boleh kita nak menggalakkan semuanya berniaga sehingga habis Ramadan.

"Oleh itu, kita perlu sama-sama patuh SOP dan mendoakan supaya tiada kes jangkitan membabitkan bazar Ramadan di wilayah ini," katanya kepada media selepas mengagihkan bubur lambuk dan melawat Bazar Ramadan Dato Keramat di sini, hari ini.

Menurutnya, pihak penguatkuasaan juga akan meningkatkan pemantauan di setiap bazar dan membuat penambahbaikan sepatutnya.

Sementara itu, Annuar turut menyarankan peniaga yang jualannya laris untuk menambahbaik sistem pembelian di mana mereka perlu menyediakan nombor giliran.

Beliau berkata, ini bagi mengelakkan pembeli berasak atau berkumpul sehingga menyebabkan tahap kepatuhan SOP tidak dapat diikuti.

"Bagi gerai yang terlajak laris ini kita minta jawatankuasa berbincang dengan mereka untuk memperbaiki kepatuhan pelanggan mereka kerana ada yang saya lihat tidak mematuhi SOP.

"Pastikan yang ada nombor saja beratur dan bila habis, nombor baru pula dibenarkan masuk kerana kita tidak mahu bersesak-sesak.

"Bagaimanapun, terserah kepada jawatankuasa pengelola bazar untuk berbincang sesama mereka," katanya.

Annuar berkata, yang paling penting kepatuhan SOP di Wilayah Persekutuan ini mengetengahkan konsep kendali sendiri patuh sendiri.

"Walaupun kita percaya kepada konsep kendali sendiri patuh sendiri, kita nak kena ada juga peringatan dan sesetengah tempat boleh menggunakan sistem pembesar suara untuk 'reminder'," katanya.

Selain itu, Annuar turut menasihati peniaga untuk menyediakan pembasmi kuman kerana mendapati rata-rata peniaga di bazar Ramadan tidak ramai yang meletakkan pembasmi kuman di gerai jualan mereka.

Disiarkan pada: April 18, 2021 @ 8:23pm
d