mutakhir

Tiga pelajar laku amang seksual dihantar ke Sekolah Henry Gurney

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, mengarahkan tiga pelajar dihantar ke Sekolah Henry Gurney di Melaka kerana melakukan amang seksual fizikal dan bersubahat melakukan perbuatan itu ke atas empat rakan mereka berusia antara 12 dan 13 tahun.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri memerintahkan ketiga-tiga pelajar di sebuah institusi swasta berusia antara 16 hingga 17 tahun itu menjalani hukuman berkenaan selama tiga tahun.

Selain itu, dua lagi rakan mereka berusia 13 tahun dihantar ke Asrama Akhlak Rusila, Marang selama satu tahun atas kesalahan sama.

Semua tertuduh berusia 13 hingga 17 tahun berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a), Seksyen (b) dan Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK ) 2017 serta Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara Ogos 2020 hingga Januari lalu di institusi berkenaan di Kuala Nerus.

Tiga lagi tertuduh berusia antara 13 hingga 16 tahun turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 109 KK kerana bersubahat melakukan kesalahan itu.

Bagi kesalahan mengikut AKSTK 2017, semua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full dan Nur Nabihah Hanin Ayim manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada: April 19, 2021 @ 7:32pm
d