mutakhir

Nash kemalangan, luka di muka

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Penyanyi, Datuk Nasharudin Elias atau lebih dikenali sebagai Nash cedera di muka dan sakit dada selepas kenderaan dinaikinya terbabas di Kilometer 250.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini, hari ini.

Ketika kejadian pada 4 petang itu, Nash berada dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Harrier bersama pemandunya berusia 33 tahun dalam perjalanan dari Johor ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kenderaannya itu dikatakan melanggar lopak air dan menyebabkannya hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok penghadang jalan di sebelah kiri lebuh raya.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami luka di muka dan sakit dada, manakala pemandunya pula mengalami kecederaan ringan.

"Penyanyi itu dibawa oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan ke Hospital Tuanku Ja`afar (HTJ) bagi menerima rawatan," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Rule 10 LN 166/59.

Disiarkan pada: April 20, 2021 @ 8:49pm
d