mutakhir

Polis tahan 2 lelaki gaduh di luar restoran

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Polis menahan dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam pergaduhan di luar sebuah restoran di sini, seperti yang tular di media sosial hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, satu laporan polis berkaitan kejadian terbabit diterima sebaik kejadian berlaku.

"Hasil siasatan dan tindakan lanjut, polis berjaya membuat tangkapan terhadap dua lelaki yang dikenal pasti terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

"Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dan provokasi antara pemilik restoran dan pelanggan berkaitan isu pembayaran makanan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 dan 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Dalam perkembangan berkaitan, A Asmadi berkata, polis juga mengesan seorang pemilik akaun Twitter bernama 'v 3 3 r u @Veeruuuuuuuu' yang tweet komen kononnya anggota polis berada di tempat kejadian dan tidak mengambil tindakan sewajarnya dengan berkongsi satu video mengenai kejadian pergaduhan terbabit.

"Semakan mendapati bahawa individu yang dilihat berpakaian seragam warna gelap di dalam video itu bukanlah anggota polis dan sebenarnya adalah anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.

Beliau berkata, sehubungan dengan itu, satu laporan polis juga dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh mengenainya untuk siasatan mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Oleh itu, polis ingin menasihatkan orang awam agar tidak mengeluarkan komen tidak benar dan tidak bertanggungjawab melalui kaedah tular di media sosial bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi satu minit 36 saat menunjukkan pergaduhan antara seorang penghantar makanan dengan seorang lelaki dipercayai peniaga makanan.

Disiarkan pada: April 20, 2021 @ 9:17pm
d