mutakhir

Kanak-kanak positif dadah, polis cari bapa tiri

Oleh Mohd Amin Jalil

Nilai: Polis sedang mengesan lelaki dipercayai melakukan pengabaian terhadap kanak-kanak selepas anak tiri di bawah jagaannya didapati positif dadah.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Mohd Fazley Ab Rahman, berkata, polis menerima laporan polis berhubung kejadian itu, Ahad lalu daripada doktor di Hospital Tunku Azizah Kuala Lumpur yang membuat rawatan ke atas kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun itu.

Katanya, hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap kanak-kanak terbabit mendapati dia positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

"Siasatan awal pada 14 April lalu mendapati mangsa telah dijaga oleh ayah tirinya (suspek) di Nilai.

"Sehari selepas itu, ibu mangsa membawa kanak-kanak berkenaan ke Hospital Tunku Azizah di Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan setelah melihat dia berkelakuan aneh dan tidak seperti biasa.

"Rawatan kemudiannya mengesahkan air kencing mangsa mengandungi dadah jenis amphetamine dan methamphetamine," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Fazley berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan suspek, Mohd Faresh Khalid, 38, yang bekerja sebagai tukang jahit dengan alamat terakhir di Apartment Mawar Sari Setiawangsa, Kuala Lumpur dan Taman Desa Jasmin, Nilai.

Beliau berkata, suspek dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Katanya, sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan lelaki terbabit boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Asisten Superitenden Md Nurazam Md Ghazali di talian 013-8005225 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Rozainita Aida Mohamed Bakri (011-33330025) dan Insepktor Normi Hashim (013-6949623) atau membuat laporan di balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: April 21, 2021 @ 10:19am
d