mutakhir

Jiwang, Juwita selamat disatukan [METROTV]

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: Dilayan persis 'raja sehari', pasangan bahagia Juwita dan Jiwang menjadi pengantin Hippo atau badak air pertama di negara ini diraikan dalam suasana majlis kenduri kahwin.

Penyatuan dua hati dan jiwa pasangan pengantin badak air dari Afrika itu berkonsepkan perkahwinan tradisional Melayu.

Majlis lengkap dengan acara menyambut menantu, mempelai diarak masuk diiringi bunga manggar, ditabur bunga dan beberapa dulang hantaran selain sesi makan beradap.

Selain itu, tetamu juga dijemput hadir ke majlis walimatulurus bagi memeriahkan lagi suasana kenduri pasangan pengantin unik itu yang diadakan di Hippo Kingdom, taman tema air Lost World of Tambun (LWOT) di sini lewat petang semalam.

Lebih menarik apabila tetamu yang tiba disambut keluarga pengantin dan diberi bunga telur sebagai tanda penghargaan menghadiri majlis itu.

Tetamu yang datang juga dihidangkan lauk pauk kenduri iaitu nasi minyak, ayam masak merah, udang goreng berempah, kari kambing, ikan percik, acar rampai, minuman air selasih dan teh tarik dan pemanis mulut agar-agar pelangi berhias.

Momen paling indah dan lucu apabila pengantin jantan Si Jiwang tiba-tiba bertindak lari keluar sebaik pengantin betina Si Juwita muncul dari pintu masuk menuju ke dalam kolam untuk keduanya saling bertemu.

Kenduri diadakan mengikut prosedur operasi standard dengan jumlah tetamu dihadkan dan hadirin mula menjamu selera sebaik azan berkumandang menandakan masuk waktu Maghrib dan waktu berbuka puasa.

Pengurus Besar LWOT yang diibaratkan bapa pengantin, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, pasangan kedua-dua pengantin sebenarnya sudah 'disatukan' dan dibiarkan 'bercinta' selama tiga bulan lalu sebagai proses penyesuaian dan majlis kenduri kahwin sebagai simbolik menyambut kehadiran Jiwang bagi menemani Juwita yang keseorangan sejak lima tahun lalu.

Katanya, idea untuk meraikan majlis kedua-dua pengantin badak air itu dicetuskan sendiri olehnya apabila negara sudah lama tidak mengadakan majlis kenduri kahwin dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita mengadakan konsep perkahwinan Melayu sebab saya rasa sudah tidak pergi kenduri orang kahwin sejak awal PKP dan lama tak merasa makan nasi minyak.

"Ideanya adalah seperti manusia lelaki dan perempuan badak juga memerlukan pasangan, jadi kita buat konsep perkahwinan ini kerana kita juga belum pernah buat konsep perkahwinan sebegini di LWOT," katanya pada sidang media ketika majlis berkenaan di sini hari ini.

Nurul Nuzairi berkata, kedua-duanya pasangan pengantin adalah spesies badak air dari negara Afrika namun daripada genetik yang berlainan.

Menurutnya, Juwita berusia 21 tahun mempunyai berat kira-kira 1.4 tan manakala pasangannya Jiwang pula seberat 1 tan dan berusia lebih muda iaitu 10 tahun.

Beliau berkata, persiapan penyatuan dua jiwa Hippo itu sudah dibuat sejak Oktober tahun lalu berikutan proses keserasian baka haiwan jenis itu yang agak mengambil masa lama.

"Sebenarnya perkahwinan Jiwang dan Juwita ini persiapannya sudah dibuat sejak bulan November tahun lalu kerana untuk menyatukan dua badak air bukan mudah.

"Ini kerana mula-mula sekali kita perlu ada kelulusan daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bagi menentukan samada dua haiwan ini boleh duduk dalam tempat yang sama atau tidak.

"Jadi persiapan ini kita sudah lakukan dengan membawa masuk Juwita terlebih dahulu sekitar November tahun lalu sebelum kita bawa Jiwang datang pula Januari tahun ini, jadi perkahwinan badak air ini bukan sekelip mata tetapi mengambil masa sekurang-kurangnya tujuh ke lapan bulan," katanya.

Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 11:06am
d