mutakhir

Korban demi negara: 4 tahun tidak pulang beraya [METROTV]

Oleh Nurul Amanina Suhaini

Kota Tinggi: "Laungan takbir raya hanya bertemankan anggota lain," kata Mohd Basir J M Abdul Maid, 29.

Mohd Basir yang juga anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berpangkat Laskar Kelas I Maritim memaklumkan menyambut hari raya tanpa keluarga dan hanya ditemani rakan setugas adalah kebiasaan dalam melaksanakan tugas mereka kepada negara.

Katanya, tahun ini adalah tahun keempat buatnya beraya bersama rakan-rakan di atas kapal disebabkan tugasan hakikinya namun ia bukanlah satu masalah besar buatnya asalkan tanggungjawabnya kepada negara dapat digalas dengan sempurna.

Dia yang berasal dari Sandakan, Sabah, cekal menjalankan amanah di samping komited menyambung pengajian Sarjana Muda Sastera dalam bidang Geografi di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

"Bukan mudah untuk menempuhi alam pekerjaan, di samping tempoh pengajian jarak jauh yang kini memasuki tahun keempat. Insya-Allah ada rezeki, saya akan tamat belajar pada Ogos tahun depan.

"Sudah tahun keempat saya tidak balik raya berikutan terbabit dengan operasi dan bertugas di pejabat. Tugasan saya di bahagian Radar Plotter, selain turut merangkumi operasi di laut.

Paling lama di laut sekitar dua minggu kerana ia bergantung kepada saiz kapal, dan masa yang terluang saya manfaatkan sepenuhnya menelaah buku kerana keluargalah penguat semangat saya untuk meneruskannya sehingga ke hari ini," katanya ketika ditemui menjalankan operasi menggunakan aset kapal KM Perwira di sekitar perairan Johor Timur, di sini.

Bagi anggota Laskar Kelas II Maritim Mohammad Zahidi Ali, 24, pengalaman menjadi anak perantauan di samping berbakti untuk negara adalah kenangan manis buat dirinya.

"Apabila di laut, kami hanya ada sesama sendiri ibarat sebuah keluarga. Masak bersama, berjaga malam bersama, solat di ruangan seadanya. Di kapal, anggota juga yang akan azan sebelum kami sama-sama berbuka.

"Kalau ada 'line', dapatlah berbual di telefon dengan ummi yang berada di Semporna, Sabah. Saya sudah tiga tahun tidak pulang beraya, saat yang dirindui apabila waktu begini adalah ummi suapkan makanan.

"Ummi sentiasa memberitahu tugasan yang saya pikul adalah amanah yang perlu dilakukan seikhlas hati. Saya tidak hanya menjaga keselamatan negara, saya rasa bertanggungjawab untuk melindungi keluarga saya.

"Mungkin rezeki saya minat badan beruniform sejak dari kecil, jadi saya dapat tunang yang juga berkhidmat sebagai anggota polis," katanya yang memaklumkan dia bertugas bahagian radio operator APMM.

Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 11:50am
d