mutakhir

5 anggota kumpulan simbol syiling bertindih, Nazi ditahan

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Lima lelaki yang disyaki menganggotai kumpulan haram atau pertubuhan tidak berdaftar ditahan polis di Dataran Segar, Lukut pada 18 April lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pada mulanya sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menahan seorang lelaki kerana disyaki menganggotai pertubuhan tidak berdaftar pada 11.45 pagi.

"Penahanannya dibuat berdasarkan maklumat melalui gambar yang dimuat naik oleh ahli kumpulan terbabit di media sosial sebagai memperingati penubuhan kumpulan terbabit.

"Pada hari yang sama, sekumpulan individu tempatan dipercayai mengadakan upacara pemotongan kek yang dihadiri beberapa ahli kumpulan yang lain," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, susulan itu polis menahan empat lagi lelaki dan kesemuanya berusia antara 30 hingga 58 tahun.

"Pihak polis masih dalam tindakan untuk mengesan beberapa orang lagi untuk melengkapkan siasatan.

"Kami merampas sehelai baju bercetak logo syiling bertindih dan lambang Nazi yang melambangkan kumpulan tersebut.

"Turut dirampas adalah dua telefon bimbit milik suspek yang memiliki bukti upacara yang dijalankan oleh ahli kumpulan itu," katanya.

Aidi Sham berkata, semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek itu mempunyai dua rekod jenayah.

"Mereka direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 52(3) Akta Pertubuhan 1966 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM15,000, jika disabitkan kesalahan.

"Pihak polis memandang serius terhadap sebarang pertubuhan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Individu yang berkaitan," ujarnya.

Menurutnya, orang ramai juga dinasihati agar tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang atau menganggotai mana-mana pertubuhan yang tidak diiktiraf.

Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 8:31pm
d