mutakhir

Jonathan dicari berkaitan iklan judi tular

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan Jonathan Tan Tee Hoe, 34, bagi membantu siasatan berkaitan mempromosi iklan perjudian secara dalam talian yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki itu dikehendaki bersabit siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, suspek dicari kerana terbabit dalam penyebaran video mempromosikan perjudian dalam talian yang tular di media sosial sebelum ini.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zairil Hazly Zulkifli di talian 017-4589997 atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

"Kerjasama daripada semua pihak amatlah dihargai bagi membantu siasatan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan polis menahan 25 individu termasuk penerbit, pelakon dan kru produksi bagi membantu siasatan pembikinan empat video mempromosikan judi dalam talian yang tular di media sosial sejak minggu lalu.

Daripada jumlah itu, 12 individu masih direman untuk siasatan, manakala selebihnya dibebaskan dengan jaminan polis.

Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 10:55pm
d