mutakhir

Murid cedera dipercayai dipukul guru

Alor Setar: Polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang mendakwa dipukul guru sekolahnya di Kuala Kedah dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan dibuat ibu mangsa yang berusia 30-an pada 4.36 petang hari ini.

Menurutnya, murid lelaki tahun tiga itu dipercayai mengalami kecederaan di lengan dan jari kiri, muka dalam kejadian itu.

"Berdasarkan laporan itu, ibu mangsa mendapati terdapat kecederaan pada badan dan muka anaknya ketika menjemput anaknya pulang dari sekolah.

"Mangsa memaklumkan bahawa gurunya memukulnya menggunakan pembaris kerana tidak menyiapkan kerja sekolah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, proses siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: April 22, 2021 @ 11:51pm
d