mutakhir

Kariah bantah pindah surau ke lokasi kurang sesuai

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kariah Surau Al-Karamah, Kampung Sri Keramat, Pasir Puteh, di sini, membantah keputusan meroboh dan memindahkan surau berkenaan ke lokasi baharu yang dianggap tidak sesuai.

Setiausaha surau itu, Abdullah Khalbi, 59, berkata pihaknya diberi notis untuk merobohkan surau berusia 37 tahun itu pada November tahun lalu, namun ditunda kepada hujung Mei depal hasil rundingan dilakukan.

Menurutnya, lokasi baharu diberikan oleh syarikat pemaju mencetuskan kegusaran kerana ia terletak di kawasan penempatan majoriti bukan Islam sedangkan surau itu berstatus surau diri Jumaat.

"Memang ada tapak ganti, namun ianya dalam kawasan ramai penduduk bukan Islam dan sebab itu kariah tidak setuju berpindah kerana bimbang akan timbul isu lain pula.

"Sebenarnya, pembinaan surau ini lebih awal berbanding kesemua projek perumahan di kawasan ini, jadi kami rasa tidak adil untuk merobohkannya atau pindah ke lokasi penempatan orang Islam," katanya dalam sidang media di surau itu, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman.

Menurutnya, pihaknya sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), namun belum ada jalan penyelesaian.

"Memang dahulunya kawasan ini adalah penempatan setinggan dan ramai penduduk sudah melalui proses penempatan semula di projek perumahan baharu di mana surau ini turut mula dibina pada masa itu.

"Persoalannya kenapa pelan projek perumahan baharu tidak mengambil kira kepentingan surau ini di mana ia menjadi tumpuan penduduk tiga kampung untuk bersolat," katanya.

Disiarkan pada: April 23, 2021 @ 7:04pm
d