mutakhir

Gantung diri dalam pondok usang

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Bagan Datuk: Lelaki dipercayai warga Mynmar ditemukan dalam keadaan tergantung dalam pondok usang bersebelahan rumah burung di Jalan Bagan Datuk, Sungai Burong, di sini, semalam.

Difahamkan, kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membaca meter elektrik di bangunan bersebelahan terhidu bau busuk sebelum menemukan mayat lelaki berusia 30-an itu lalu menghubungi polis pada 12.35 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pondok itu dipercayai menjadi tempat tidur lelaki itu kerana terdapat tilam dan juga pakaian bersebelahan tempatnya menggantung diri.

Menurutnya, lokasi kejadian kira-kira 200 meter dari jalan utama dengan pondok berkenaan tiada pintu dan tingkap serta tiada perumahan terdekat selain tiada kamera litar tertutup (CCTV).

"Lelaki itu dijumpai dalam keadaan tergantung dengan tali pada alang bumbung. Dia berpakaian lengkap t-shirt berwarna coklat dan seluar jeans pendek serta terdapat gumpalan tali terlilit di pergelangan tangannya.

"Pemeriksaan dilakukan mendapati tiada sebarang kecederaan luaran pada fizikal badan lelaki itu dan tiada unsur jenayah ditemui," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, lelaki itu dipercayai sudah meninggal dunia lebih 24 jam kerana tubuhnya sudah membengkak dan berbau busuk.

Katanya, setakat ini identiti lelaki itu masih belum dikenal pasti dan bedah disiasat akan dilakukan di Unit Forensik Hospital Teluk Intan pada 26 April ini.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 2:21pm
d