mutakhir

Polis minta henti tular identiti mayat terbakar

Oleh BERNAMA

Kuala Terengganu: Orang ramai dinasihatkan tidak menyebar sebarang maklumat tidak sahih berkaitan identiti mayat yang ditemukan dengan kesan terbakar di tepi Jalan Kuala Terengganu-Kelantan di Kampung Padang Air dekat Tepoh, di sini, baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, pihaknya mengesan penyebaran maklumat sedemikian di media sosial sejak semalam dan ia tular dengan menyatakan mayat itu ialah seorang wanita dikenali sebagai 'Kak Yah'.

"Mayat tersebut juga dikatakan telah dituntut ahli keluarganya di Bukit Bading, Ajil di Hulu Terengganu dan urusan pengebumian mayat berkenaan telah pun selesai sedangkan identiti mayat tersebut masih belum disahkan serta tidak diserahkan kepada mana-mana ahli keluarga," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Mohd Marzukhi berkata, mereka yang didapati menyebar maklumat tidak benar boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, mereka juga boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1988 yang mengenakan hukuman denda RM100,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Mayat dengan kesan terbakar keseluruhan badan itu ditemukan pada 17 April lalu dan maklumat palsu itu tular menerusi aplikasi WhatsApp.

Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 3:59pm
d