mutakhir

'Apa nasib mereka jika kami tiada lagi'

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Tatkala usia semakin lanjut membuatkan suami isteri buntu memikirkan nasib tiga anak mereka yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam termasuk dua daripadanya turut mengalami kecacatan fizikal.

Chew Kam Har, 73, berkata dia bersama suami, Chow Hoong, 77, tidak lagi mampu menanggung serta menjaga dua anak mereka yang mengalami kecacatan fizikal iaitu Chow Yew Meng, 45, serta Chow Yew Leong, 44.

Menurutnya, seorang lagi anak OKU mereka iaitu Chow Yew Wah, 36, masih mampu melakukan aktiviti harian termasuk bekerja.

"Yew Meng hanya terlantar kerana mengalami kecacatan selepas beberapa bulan dilahirkan akibat terjatuh, manakala Yew Leong pula bergerak dengan kerusi roda kerana terbabit dalam kemalangan jalan raya kira-kira 10 tahun lalu.

"Anak bongsu Yew Wah kini bekerja di kilang plastik di Menglembu, dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan dan dia adalah pencari nafkah tunggal keluarga selepas suami berhenti kerja, dua tahun lalu.

"Mujur ada bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM1,250 bagi ketiga-tiga anak saya. Namun, kami bimbang nasib mereka jika ditakdirkan saya dan suami meninggal dunia," katanya.

Kam Har berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Perak, Low Guo Nan di rumahya di Kampung Baru Buntong, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia bercadang menghantar dua anaknya yang cacat fizikal ke pusat jagaan OKU swasta, namun sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membantu menunda hasrat itu berikutan pandemik Covid-19.

"Saya harap sebelum meninggal dunia, anak-anak kami dapat ditempatkan di pusat jagaan. Biarlah di kawasan Ipoh, boleh juga kami melawat walaupun mereka ditempatkan di pusat jagaan yang berbeza," katanya.

Disiarkan pada: April 24, 2021 @ 5:46pm
d