mutakhir

Kanak-kanak 2 tahun dibenar keluar hospital, 3 masih di hospital

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Sabak Bernam: Kanak-kanak perempuan yang terbabit dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Kelisa dan sebuah lori di Kilometer 78 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Parit 7 Sungai Leman, Sekinchan semalam, dibenarkan keluar hospital, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mangsa berusia dua tahun itu sebelum ini dirawat di Hospital Tanjong Karang (HTK) akibat patah bahu kiri dan koyak pada bahagian lidah.

"Mangsa yang juga penumpang hadapan Perodua Kelisa dibenarkan keluar hospital," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Agus Salim berkata, tiga lagi mangsa dipindahkan ke Hospital Selayang dan Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Pemandu kereta berusia 39 tahun dan penumpang bahagian belakang sebelah kanan berusia 10 tahun dipindahkan ke Hospital Selayang.

"Manakala penumpang bahagian belakang sebelah kiri berusia 43 tahun dipindahkan ke Hospital UiTM Sungai Buloh," katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat termasuk dua kanak-kanak perempuan parah selepas Perodua Kelisa dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori.

Dalam nahas 4.30 petang itu, semua mangsa dalam perjalanan dari Shah Alam ke Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

Berita berkaitan

4 termasuk dua kanak-kanak parah, kereta rempuh belakang lori

Disiarkan pada: April 25, 2021 @ 10:13pm
d