mutakhir

'Arwah anggota APM yang rajin, baik'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Padang Terap: "Kali terakhir berjumpa dengan arwah (Mohd Syazwan Saberi, 20) kira-kira sebulan lalu kerana dia bertugas sebagai anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap.

"Dia seorang yang rajin dan baik malah menjadi sukarelawan APM bermula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu sebelum menyambung semula pengajian di Kolej Komuniti Padang Terap tetapi dia masih lagi anggota APM," kata Murnirah Shaari, 28.

Murnirah yang juga anggota APM Padang Terap berkata, dia dan rakannya terkejut mendengar berita yang Mohd Syazwan terbabit dalam kemalangan dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang ahli keluarganya yang membonceng motosikal itu parah.

Katanya, sepanjang bertugas dengan APM, arwah pernah ditugaskan menjaga pusat kuarantin Covid-19 di Padang Terap sebelum ini.

"Dia menetap di Kampung Semeliang dan lokasi kemalangan dipercayai tidak jauh dengan kawasan rumahnya," katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam kejadian petang semalam, tiga maut dan seorang parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira dengan sebuah motosikal di Kampung Padang Lanjut, dekat sini.

Dalam kejadian itu, pemandu kereta berusia 37 tahun dan anaknya berusia enam tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialami.

Manakala Mohd Shazwan yang menunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemboncengnya parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Ketua Polis Daerah Padang Terap Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar semalam dipetik berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku akibat Proton Wira itu cuba mengelak haiwan melintas.

Disiarkan pada: April 26, 2021 @ 5:56pm
d