mutakhir

Sultan Ibrahim guna 'pengacau' khas

Oleh Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menggunakan kayu pengacau 'khas' bagi menyediakan bubur lambuk untuk diedarkan kepada rakyat negeri ini, esok.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam akaun Facebook Sultan Ibrahim, baginda bertitah acara masakan bubur lambuk Istana Johor kali ini menampilkan sedikit kelainan apabila sebuah kayu pengacau 'khas' akan digunakan dalam penyediaan juadah berkenaan.

"Pengacau ini disediakan oleh tukang kayu saya dari Mersing dan esok saya akan menggunakannya ketika memasak bubur lambuk," titah baginda.

Pengacau berkenaan yang diperbuat daripada kayu giam dan turut dilengkapi hiasan 'epoxy resin' khas logo Sultan Ibrahim 2021 dibuat oleh tukang kayu peribadi baginda di Mersing.

Walaupun Sultan Johor mempunyai jadual yang padat, namun ia tidak menghalang baginda memasak bubur lambuk untuk disampaikan kepada rakyat Johor.

Aktiviti masakan bukan sesuatu yang asing bagi DYMM Sultan Johor yang mahir menyediakan pelbagai juadah bersama kakitangan Istana.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim turut mengurniakan sebanyak 1,150 paket bubur lambuk dari Istana Johor diserahkan kepada rakyat Segamat, semalam.

Sumbangan bubur lambuk itu disampaikan kepada Penghulu Kanan Mukim Sungai Segamat, Ishak Abu Bakar dan diagihkan kepada 11 mukim di daerah Segamat.

Kurniaan bubur lambuk daripada Sultan Ibrahim itu adalah sebagai aktiviti mengimarahkan Ramadan.

Disiarkan pada: April 27, 2021 @ 4:06pm
d