mutakhir

Kuat kuasa undang-undang, redakan Covid-19 - PM

Oleh Mohamed Farid Noh

Muar: Kerajaan bertanggungjawab mengawal keadaan dengan menguatkuasa undang-undang termasuk menggunakan kompaun, bagi meredakan penularan Covid-19 di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin.

Perdana Menteri berkata, ia berikutan faktor utama penularan Covid-19 masih berlaku di negara ini berikutan ketidakpatuhan pada prosedur standard operasi (SOP).

"Namun kita (kerajaan) tidak akan mampu uruskan penularan Covid-19 secara 100 peratus.

"Ia berbalik pada soal rakyat untuk menguruskan ehwal masing-masing dengan mematuhi secara berperaturan dan ketat supaya kita tak akan dijangkiti Covid-19.

"Sebab itu (penularan Covid-19) masih berulang setiap hari. Bilangan yang berjangkit dan terkesan dengan wabak ini dan yang positif di luar jangkaan.

"Oleh sebab itulah kita perlu mengambil langkah lebih tegas dan berani (termasuk gunakan undang-undang) untuk uruskan Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Tahlil dan Penyampaian Sumbangan Ramadan Dewan Undangan Negeri (Dun) Gambir di Masjid Jamek Simpang 5 Darat, di Bukit Gambir, di sini, hari ini.

Turut hadir Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan Adun Gambir, merayu rakyat negara ini supaya bersama-sama mematuhi SOP.

"Saya ingin nak merayu seluruh rakyat Malaysia di mana sahaja mereka berada supaya bertanggungjawab untuk kita mesti bersama-sama menangani wabak Covid-19.

"Patuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan. Cara kita berintetaksi, berurusan, bersosial sama ada dalam kegiatan bersukan dan bersekolah dan sebagainya perlu dilakukan secara berwaspada.

"Semua itu tempat itu agak ramai yang terbabit.

"Sekiranya tak dikawal secara rapi dan dan tiada penguatkuasaan undang-undang diambil terhadap mereka yang langgar peraturan, maka masalah Covid-19 tidak akan dapat diatasi dalam tempoh yang terdekat," katanya.

Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus ambil perhatian serius dan bersungguh-sungguh selagi penularan wabak Covid-19 belum berjaya dikawal.

"Selagi belum selesai, kerajaan akan tumpu usaha 100 peratus bagaimana kita nak mengatasi masalah ini," katanya.

Disiarkan pada: April 27, 2021 @ 7:20pm
d