mutakhir

Pelakon Bukit Kepong meninggal dunia

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: Pelakon veteran Samsudin Baslah, 75, meninggal dunia di Hospital Tanjong Karang (HTK), 5.30 petang, hari ini.

Pengurus Pusat Jagaan Orang Tua Selangor Relief Agency (SRA) Sharil Hussein yang mengesahkan perkara itu, memaklumkan jenazah Allahyarham masih berada di HTK dan menunggu keputusan ujian saringan Covid-19.

Sharil berkata, jenazah kemudian akan dibawa ke pusat jagaan terbabit untuk dimandikan dan dikafankan.

"Selepas diuruskan, jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Paya Jaras, Sungai Buloh," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Sharil berkata, Allahyarham ada menyatakan hasrat kepadanya untuk berjumpa pengarah dan penerbit filem Datuk Yusof Haslam.

"Dua minggu lalu, arwah cerita pada saya yang dia nak sangat berjumpa dengan Datuk Yusof Haslam.

"Jadi, saya maklumkan perkara itu kepada pelawak Ebby Yus dan kebetulan beliau datang ke pusat jagaan saya untuk menziarahi arwah.

"Walaupun arwah sudah tiada, saya akan pastikan hasratnya untuk bertemu Datuk Yusof Haslam tertunai," katanya.

Sharil berkata, Allahyarham disifatkan sebagai individu yang periang dan disayangi penghuni serta staf pusat jagaan itu.

Allahyarham yang aktif sejak era 1980-an dikenali melalui lakonan dalam filem Bukit Kepong pada 1981, Penentuan (1982) dan Bila Hati Telah Retak (1983).

Disiarkan pada: April 27, 2021 @ 11:27pm
d