mutakhir

Pertambahan jumlah kenderaan punca kemalangan meningkat

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Sebanyak 180 kes kemalangan direkodkan di ibu kota pada hari biasa sejak awal April lalu manakala 80 kes dicatatkan di hujung minggu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, 60 ke 70 peratus daripada jumlah kemalangan itu membabitkan pemandu kenderaan empat roda manakala selebihnya penunggang motosikal.

Menurutnya, faktor yang menyumbang kemalangan adalah peningkatan jumlah kenderaan mencapai 90 peratus disebabkan aktiviti ekonomi yang sudah berjalan seperti biasa dan kurangnya individu bekerja dari rumah.

"Walaupun tiada rentas sempadan (rentas negeri), kemalangan tetap menjadi-jadi di Kuala Lumpur.

"Kes kemalangan yang banyak dilaporkan berlaku di pusat bandar dan pinggir bandar sewaktu orang ramai datang serta pulang kerja manakala kemalangan maut pula dilaporkan pada waktu malam selepas jam 10," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program penyerahan bubur lambuk JSPT Kuala Lumpur bersama Persatuan Pakatan Pemandu Berhemah Malaysia (Pakatan Pemandu) di Plaza Tol Jalan Duta, di sini, hari ini.

Majlis pengagihan bubur lambuk itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Datuk Seri Ti Lian Ker dan hadir sama Presiden Pakatan Pemandu Nor Aizam Abd Kadir.

Mengulas mengenai program agihan bubur lambuk itu, Zulkefly berkata, ia adalah kempen keselamatan jalan raya dilaksanakan pihaknya.

"Program ini diadakan bagi mendekatkan diri dengan masyarakat iaitu pengguna lebuh raya.

"Menariknya hidangan itu disediakan secara gotong-royong oleh anggota polis dan ahli Pakatan Pemandu," katanya.

Disiarkan pada: April 28, 2021 @ 7:15pm
d