mutakhir

Pekerja restoran dikurung, gaji RM10, ditolak jika ambil lauk

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Bukan sahaja dibayar gaji RM10 sehari, malah mangsa juga akan dihukum potong gaji sekiranya mengambil makanan berlauk.

Itu nasib malang menimpa 22 pekerja restoran di Taman Chi Liung, Klang, Selangor, yang diselamatkan pihak polis daripada Bahagian (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Pasukan Petugas Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Ketua Penolong Pengarah D3 JSJ Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, serbuan Op Pintas Bersepadu itu dilakukan hasil maklumat dan risikan sebelum pihaknya menyerbu sebuah restoran dan dua asrama pekerja jam 12.45 tengah malam tadi.

"Dalam operasi itu, kami berjaya menyelamatkan 22 pekerja warga asing berusia lingkungan 23 hingga 44 tahun membabitkan 11 wanita warga Indonesia dan 11 lelaki warga India.

"Selain itu, kami menahan tiga lelaki tempatan berusia 29 hingga 60 tahun yang juga majikan serta penjaga premis berkenaan.

"Tangkapan dibuat untuk siasatan berkaitan eksploitasi buruh paksa, gaji yang dibayar tidak seperti dijanjikan, semua pekerja dikurung di asrama dan menerima ugutan daripada majikan dan penjaga," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadil berkata, pihaknya turut merampas 40 pasport, dua telefon bimbit, sebuah kereta jenis BMW dan wang tunai dipercayai hasil perniagaan berjumlah RM3,858.

Menurutnya, siasatan awal mendapati majikan gagal membayar gaji RM1,500 sebulan seperti yang dijanjikan dan hanya membayar RM10 sehari sahaja, selain mengurung mangsa selepas waktu bekerja.

"Waktu bekerja mereka juga panjang iaitu 12 jam dan tiada hari cuti. Mangsa juga tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit walaupun selepas waktu kerja dan kebenaran harus diperoleh oleh majikan sekiranya mahu menggunakan telefon.

"Mangsa (pekerja) akan diugut pukul jika cuba melarikan diri selain makan yang dicatu. Jika mereka ambil makanan berlauk, gaji akan ditolak," katanya.

"Malah, tempat tinggal yang disediakan untuk mangsa juga tidak mengikut piawaian Akta 446," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.

Disiarkan pada: April 29, 2021 @ 12:36pm
d