mutakhir

Klinik Bergerak Lembaga Zakat Negeri Kedah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mewujudkan Klinik Bergerak LZNK dengan bayaran serendah RM5 untuk sesiapa sahaja termasuk bukan Islam yang memerlukan rawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK Syeikh Zakaria Othman berkata, klinik berkenaan dibangunkan hasil kerjasama Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPNB) dan Kedah Medical Center (KMC) dengan kos RM340,000.

Katanya, klinik itu akan beroperasi pada Ahad, Selasa dan Khamis bermula jam 10 pagi hingga jam 4 petang di masjid-masjid terpilih di negeri ini.

"Bagi asnaf yang menerima bantuan bulanan LZNK, mereka tidak dikenakan bayaran, manakala orang ramai, termasuk bukan Islam, hanya dikenakan bayaran RM5 sahaja untuk pendaftaran dan ubat-ubatan akan ditanggung oleh LZNK.

"Antara rawatan ditawarkan adalah demam, batuk, selsema dan penyakit ringan termasuk kecederaan ringan, melecur, pemeriksaan tekanan darah dan pemeriksaan glukos dalam darah," katanya ditemui selepas perasmian Klinik Bergerak LZNK di perkarangan Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Turut hadir Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang.

Dalam pada itu, baginda turut berkenan menyempurnakan agihan zakat fitrah negeri Kedah sebanyak RM11.5 juta kepada 13,610 orang asnaf fakir dan miskin yang merupakan penerima bantuan bulanan zakat.

Menurut Syeikh Zakaria, jumlah keseluruhan bantuan untuk golongan berkenaan adalah RM6.8 juta dengan setiap individu akan menerima RM500.

"Selain itu, kita turut menyerahkan zakat ini kepada 300 asnaf mualaf dengan peruntukkan RM150,000. Mereka ini mestilah mualaf yang baru menukar agama dalam tempoh lima tahun.

"Disamping itu, RM4.48 juta lagi diperuntukkan kepada 11,200 guru agama kampung dengan setiap seorang menerima RM400," katanya.

Disiarkan pada: April 29, 2021 @ 3:12pm
d