mutakhir

Nak 'beli' polis dengan RM30,000, 4 lelaki ditahan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Cubaan empat lelaki menawarkan wang sogokan sebanyak RM30,000 kepada polis supaya melepaskan rakan mereka yang ditahan dalam serbuan perjudian mengundang padah apabila ditahan semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi membuat serbuan jam 3 pagi di sebuah apartment di Jalan Perak, di sini, dan menahan lapan individu.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri dua lelaki dan seorang wanita tempatan serta lima lelaki warga China berusia 27 hingga 32 tahun.

"Hasil pemeriksaan merampas 108 daun terup, tiga keping catitan angka perjudian, kad akses, kad sim dan wang tunai RM1,213.

"Semasa serbuan, polis didatangi empat lelaki berusia 25 hingga 39 tahun memperkenalkan diri sebagai rakan suspek di mana mereka ingin menawarkan wang RM30,000 bagi membebaskan suspek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, pasukan JSJ IPD Dang Wangi menolak tawaran berkenaan dan memberi amaran supaya mereka tidak menggangu tugas serbuan sebaliknya keempat-empat suspek terus menawarkan wang berkenaan.

"Polis kemudian menahan mereka semua dan merampas wang itu. Siasatan kes rasuah akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," katanya.

Beliau berkata, selain itu, polis turut menyerbu dua unit lain jam 4 pagi dan menahan empat lelaki warga China berusia 26 hingga 27 tahun.

"Turut dirampas 10 telefon bimbit, empat kad sim dan wang tunai RM3,311. Semua 12 orang yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63," Katanya.

Disiarkan pada: April 30, 2021 @ 8:51am
d