mutakhir

Rezeki Ramadan buat keluarga Patimah

Oleh Mohd Rafi Mamat

Pekan: Ramadan kali ini, lebih bererti buat warga emas cacat penglihatan Patimah Kundur, 83 apabila menerima rumah baharu bagi menggantikan rumahnya yang musnah terbakar Januari lalu.

Rumah bernilai RM65,000 terletak di Kampung Pekan Lama, di sini, disediakan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) dengan sokongan beberapa agensi lain.

"Saya bersyukur dan hanya mampu mengucapkan terima kasih pada MUIP yang menyediakan rumah baharu untuk saya berteduh, pemberian paling bermakna dalam hidup ini.

"Saya seolah bermimpi apabila menerima pemberian berkenaan yang tidak pernah diduga," katanya ditemui, di sini semalam.

Patimah berkata, dia kini tinggal bersama anaknya yang membantu menguruskan dirinya yang tidak lagi mampu untuk untuk berjalan.

Katanya, dia bergerak dengan menggunakan kerusi roda.

"Aidilfitri akan datang kami sekeluarga dapat beraya di rumah baharu, namun kenangan rumah lama tidak mungkin dapat dilupakan. Walaupun tidak dapat melihat namun saya yakin rumah yang diterima menarik dan istimewa" katanya.

Sementara itu Pengurus MUIP Cawangan Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim berkata, rumah Patimah musnah dalam kebakaran pada 27 Januari lalu menyebabkan keluarga itu kehilangan tempat tinggal.

Katanya, MUIP meluluskan peruntukan sebanyak RM65,000 untuk membina rumah baharu kepada warga emas berkenaan yang turut mengalami masalah penglihatan.

"Rumah baharu yang disediakan diharap dapat memberi lebih keselesaan kepada Patimah serta anaknya yang bertanggungjawab menguruskan warga emas itu.

"Selain bina baharu MUIP turut menyediakan kemudahan baik pulih rumah golongan miskin dan asnaf dalam usaha meringankan beban mereka," katanya.

Disiarkan pada: May 1, 2021 @ 8:33am
d