mutakhir

12 individu tengok lumba haram dikompaun RM1,500

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Chukai: Keasyikan sekumpulan individu berkumpul untuk menyaksikan perlumbaan haram membawa padah apabila dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Seramai 12 individu termasuk tiga wanita berusia antara 19 hingga 46 tahun itu ditahan menerusi Op Samseng Jalanan di Kilometer 105 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini pada pada 1.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, operasi dilakukan pihaknya susulan aduan mengenai aktiviti berhimpun di kawasan berkenaan untuk menyaksikan perlumbaan haram.

Beliau berkata, pihaknya terlebih dahulu melakukan pemantauan sebelum mendapati banyak kereta berhenti di tepi jalan.

"Berdasarkan pemerhatian, mereka yang berkumpul di luar kereta tidak mematuhi SOP ditetapkan apabila tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

"Kami menahan sembilan lelaki dan tiga wanita yang berada di lokasi kejadian manakala yang sedang berlumba berjaya melarikan diri.

"Semua yang ditahan bersama lima kereta dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hanyan berkata, semua mereka dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang kerana tidak mematuhi SOP mengikut Peraturan 16 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.

Katanya, lima kenderaan disita kerana pelbagai kesalahan modifikasi.

Disiarkan pada: May 1, 2021 @ 12:14pm
d